Friday, January 15, 2010

AIRMATA DI SEKOLAH

AIRMATA DI SEKOLAH YAYASAN SULAMI

MENGGAMBARKAN ADA SETITIK KELUHURAN DI HATIMU


ASSALAMUALAIKUM WBT
Anda dengan segala hormatnya dijemput datang ke Sekolah Yayasan Sulami di Melaka. Masih belum terlambat untuk datang melihat anak-anak kecil yang gairah memikul beg dan memakai pakaian sekolah serba baru. Anda juga akan berpeluang melihat kesungguhan anak remaja datang ke sekolah untuk menuntut ilmu. Datang saja ke sekolah menengah tajaaan Yayasan Sulami. Anda akan teruja tetapi pengalaman ini amat payah untuk dilihat di tempat lain kecuali di sekolah Yayasan Sulami atau anda pergi ke tempat yang sama seperti pengurusan Yayasan Sulami, pengurusan yang bergantung kepada sumbangan dan ihsan orang ramai.

Apakah kelebihan untuk ke sana? Di sekolah biasa anda akan gelak ketawa kerana terhibur dengan gelagak ragam murid-murid yang gembira malah nampak jelas kebanggaan mereka. Maklum, mereka adalah anak kecil yang belum matang dan mengerti dengan perasaan. Mereka tiada tanggongjawab dan bebanan lebih-lebih lagi ibu bapa mereka adalah orang berkemampuan. Anda akan gembira dan ketawa tetapi mungkin kegembiraan anda itu semakin menebalkan perasaan keperihatinan hati terhadap orang yang tidak bernasib baik. Oleh itu datanglah ke sekolah-sekolah yang dibiaya oleh tabung derma. Anda akan merasa kelainannya.

Bolehkah anda ketawa jika melihat ada murid yang tidak berkasut putih kecuali berselipar. Macam-macam jenis selipar dan yang popular ialah selipar jepun. Ada juga yang berkasut tetapi warna putihnya sudah menjadi kuning dan berlobong sana berlobang sini. Anda akan melihat mereka tetap tersenyum kerana mereka belum mengerti. Anda akan juga melihat ada murid yang bajunya banyak peta lipatan, kusut tidak diseterika licin. Mereka juga senyum. Sungguh ikhlas senyuman mereka. Jika anda datang mengunjung pada minggu pertama, kedua malah hingga saat penulisan ini, iaitu minggu-minggu awal persekolah di tahun baru ini, maka anda masih berpeluang terjumpa dengan murid-murid yang baju mereka aneh berwana dan bercoarak lain.

Jika anda seorang yang peka maka anda akan nampak kunci-kunci pintu taman syurga seolah-olah tergantung-gantung di depan mata anda. Itu adalah milik mereka kerana mereka ditakdirkan sebagai anak yatim piatu, anak fakir dan anak orang miskin. Jika anda pantas membaca naluri maka tentunya andalah yang coba memiliki kunci-kunci taman syurga itu terlebih dahulu sebelum orang lain. Anda akan berusaha ke arah itu. Tetapi jika anda tidak dapat melihatnya itu bukanlah suatu kegundahan. Anda masih berpeluang melihat diri sendiri. Dan kami hanya mengharapkan ada setitik airmata gugur ke bumi dari mata anda walau anda menyembunyikannya. Ini adalah kerana kami yakin anda adalah insan berhati luhur.

Airmata itu membersihkan hati. Hati yang liat adalah kering dengan airmata. Anda mungkin masih tertanya-tanya apakah pokok persoalannya. Buah yang manis di sini ialah jika anda datang menziarahi sekolah anak yatim dan terlihat kepincangan yang wujud bukanlah hasil kecuaian tetapi semata-mata tidak berkemampuan. Maka apakah tidak ada sedikit kelebihan pun yang ada pada anda? Jika tidak ada RM1 untuk disumbangkan maka berdirinya anda di situ telah memberi kekuatan semangat kepada mereka. Mereka dapat kekuatan jiwa kerana anda seperti memberi sokongan dan dorongan padahal anda belum keluar satu sen pun. Dan anda sendiri telah mendapat pahala kerana berdiri di situ. Apalagi jika anda aktif membuka hati, membuka tangan menderma dan menyumbang, bersedekah atau memberi hadiah. Sesungguhnya benarlah bahawa tangan yang memberi adalah lebih baik dari tangan yang menerima. Kalau tiada juga....berikanlah airmatamu sebagai saksi bahawa ada sedikit keluhuran di hatimu............

Kepada anda yang terasa sempit dada kerana sahyu dan ingin merakamkan nama untuk menjadi saksi dan bukti diakhirat nanti, untuk menederma, untuk bersedekah, untuk menyumbang dan memberi apa yang termampu, anda tentu tertanya-tanya bagaimana caranya. Hubungilah Al Fadhil Sheikh Ali Mekah yang juga dikenal sebagai Ustaz Ali Melaka di rumahnya di Markas Yayasan Sulami Alai Melaka atau sampaikan kepada para Ustaz atau guru-guru dan ustazah sekolah berkenaan yang sedang berbakti tanpa menilai upah kewangan, atau anda boleh masukkan dalam tabung derma yang disediakan. Anda dan sumbangan anda sangat-sangat dialukan. Selamat dan berokah telah didoakan kepada anda jika anda sudah ada niat meskipun belum melakukannya.

Dada anda tentunya lapang apabila setelah anda menghulur tangan, anda melihat tiada lagi setokin kuning, atau kasut berlobang atau baju yang kusut masai dipakai lagi oleh murid-murid yatim dan yang tidak berkemampuan itu. Apatah lagi jika apa yang mereka pakai adalah pemberian anda. Anda lagi teruja apabila senyuman mereka yang sentiasa ikhlas bertambah melirik kerana kegembiraan dan tuah yang dibawa mereka yang seharusnya anda tahu dan berusaha untuk memperolehinya ialah doa-doa mereka yang tidak terhijab.



oleh TRTY