Monday, October 26, 2009

AKTIVITI PENDIDIKAN, TARBIAH DAN DAKWAH

YAYASAN SULAMI MEMERLUKAN DANA BESAR UNTUK PENDIDIKAN


Aktiviti pendidikan, dakwah dan tarbiah adalah aktiviti induk Yayasan Sulami. Yayasan ini ditubuhkan adalah bertujuan untuk mengumpul dan mencari sumber kewangan untuk membiaya perbelanjaan dan pengurusan pelajaran, pendidikan dan persekolahan anak-anak yatim dan anak-anak fikir miskin.


Ketika ini, Yayasan Sulami mengurus tiga buah Sekolah Rakyat. Sebuah sekolah menawarkan pelajaran peringkat menengah dari tingkatan 1 hingga 5. Dua buah sekolah Rakyat menawarkan pelajaran sekolah peringkat rendah agama dan juga mengikut skima pelajaran yang ditetapkan oleh kerajaan. Jumlah keseluruhan pelajar di sekolah Menengah Agama Yayasan Sulami ialah 300 orang murid dan di sekolah rendah seramai 450 orang.


Sejumlah 40% murid-murid di peringkat pendidikan sekolah rendah terdiri daripada anak-anak yatim. 40% pula daripada keluarga miskin dan selebihnya adalah daripada anak-anak penduduk tempatan yang berdekatan dengan sekolah. Bagi peringkat sekolah menengah pula, seramai 50% murid adalah terdiri daripada anak-anak yatim dan 30% daripada keluarga miskin dan bakinya sebanyak 20% adalah terdiri daripada anak-anak penduduk kampung yang tinggal berdekatan dengan sekolah.


Seramai 8 orang tenaga pengajar berkhidmat secara sukarela di Sekolah Menengah Agama Rakyat dan seramai 12 orang berkhidmat di sekolah rendah. Mereka adalah terdiri daripada para graduan dari Timur Tengah dan juga anak-anak tempatan yang menyumbang jasa dengan membantu menjadi tenaga pengajar samada secara sepenuh masa atau sampingan, kekal dan juga sementara. Yayasan Sulami mengucap syukur ke hadrat Illahi kerana komitmen mereka yang tidak mengenal penat lelah serta tidak bergantung kepada material dari segi kewangan dan sebagainya telah membantu Yayasan Sulami menjalankan aktiviti pendidikan kepada pelajar-pelajar yang terdiri daripada anak yatim dan golongan miskin. Mereka yang tidak bernasib baik berpeluang menimba pelajaran asas di sekolah tajaan Yayasan Sulami dan meskipun Yayasan ini kekurangan dana dan kewangan tetapi aktiviti berterusan hingga ke hari ini.


Walaupun dalam serba kekurangan disebabkan kewangan yang terhad, para pelajar dapat peluang untuk terus belajar dan menumpukan pelajaran. Yayasan Sulami mengambil kesempatan di sini, menyeru dan merayu kepada anda sekalian, semoga dapat melapangkan hati untuk menderma dan menyumbang kepada Tabung Yayasan Sulami. Percayalah bahawa sumbangan anda akan dibalasi Allah dengan kadarNya tanpa dapat kita perkirakan sama ada di dunia mahupun di akhirat.


Selain dari sekolah-sekolah tersebut Yayasan ini juga menguruskan 2 buah tadika Islam. Seramai 52 kanak-kanak diasuh di tadika ini. Mereka terdiri dari anak-anak penduduk berdekatan, anak yatim dan juga anak golongan miskin. Seramai 4 orang tenaga pengajar menguruskan pembelajaran kanak-kanak pra-sekolah. Tadika ini banyak mendapat tajaan dan bantuan sumber kewangan daripada ibu-bapa murid yang berkemampuan, dari orang-orang peseorangan dan juga bantuan daripada ahli-ahli UMNO dan PAS yang perihatin terhadap perjuangan pendidikan Islam oleh Yayasan Sulami.


Yayasan Sulami ingin juga memaklumkan bahawa Yayasan ini telah membeli beberapa bidang tanah untuk membina pondok-pondok pembelajaran untuk orang tua dan juga fakir miskin. Sementara ini, rancangan ini masih belum aktif kerana kekurangan dana malah boleh dikatakan masih tiada dana atau kewangan yang terkumpul. Yayasan ini berharap akan ada tokoh-tokoh dermawan akan tampil kehadapan dan berimfak demi agama dan Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Tanah-tanah yang ada dalam kekuasaan atau pemilikan Yayasan Sulami ini ialah seperti di Serkam, Umbai, Merlimau, Telok Mas, Tangkak dan di Alai sendiri. Terdapat juga beberapa bidang tanah yang telah diwakaf tetapi hal itu dikesampingkan dahulu kerana pemilikannya belum jelas. Proses pertukaran nama dan hak pemilikan juga belum dilakukan.


Oleh itu sekali lagi Yayasan Sulami menyeru kepada anda sekalian, agar bermurah hati menyumbang apa yang anda mampu, sama ada wang ringgit, harta, pengetahuan mahupun pandangan supaya Yayasan Sulami dapat terus menjadi institusi masyarakat berkebajikan yang berkecuali dan dapat membela anak-anak yatim dan fakir miskin serta mereka yang tidak bernasib baik meneruskan hidup beragama dengan fikrah Islam di Malaysia dan di dunia yang penuh dengan pancaroba ini. Wasalam.


Oleh TSEN

No comments:

Post a Comment